KUALA LUMPUR: Sekumpulan lelaki berbaju putih dilihat mula berhimpun tidak jauh daripada kawasan Masjid Jamek Kampung Baru bagi menyertai Himpunan Selamatkan Malaysia pada Sabtu.

Berdasarkan pemerhatian Sinar Harian, kumpulan itu memakai baju putih sebagai simbol bagi menyatakan bantahan susulan keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pada masa yang sama, mereka turut melilit kain putih yang ditulis '#Selamatkan Malaysia' di kepala serta memakai selendang bercorak 'Jalur Gemilang'.

Kumpulan berkenaan difahamkan mula berkumpul sekitar jam 12.15 tengah hari tadi.

Pada masa yang sama, mereka difahamkan turut menjual baju tersebut pada harga RM20 sehelai kepada orang ramai yang berminat untuk membelinya.

Pada Jumaat, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata, mereka tidak akan berganjak dengan keputusan untuk mengadakan Himpunan Selamatkan Malaysia yang dijadualkan berlangsung di ibu negara.

Ujarnya, ketetapan itu dibuat dengan mengambil kira polis telah menerima notis penganjuran perhimpunan tersebut. - Sinar Harian